Selasa, 29 Disember 2009

MEREKA BUKAN HALANGAN

Sebahagian daripada kita ada yang menghadapi masalah dalam mendapatkan keizinan ibu bapa masing-masing untuk terlibat dengan program-program da’wah dan tarbiyah. Sehingga timbullah perselisihan dan sebagainya.




Hal ini terjadi mungkin kerana ketidakfahaman ibu bapa kita tentang hakikat da’wah yang sebenarnya, atau khuatir kalau-kalau anaknya terjerumus dan terlibat dengan perkara-perkara negatif yang semakin berleluasa di luar sana.

Apabila kita terlalu asyik berprogram sehingga mengabaikan keluarga, tidak hairanlah perasaan takut dan khuatir dalam diri ibu bapa kita akan timbul. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang belum memahami hakikat da’wah, tujuan-tujuannya, dan juga manhaj dalam tarbiyah itu sendiri.

Ingatlah

: “Barangsiapa tidak mengerti sesuatu maka ia memusuhinya.”

Jika seorang anak taat pada kedua orang tuanya, perilakunya mencerminkan akhlak yang tinggi, mengekalkan pencapaian yang membanggakan dalam pelajaran, mempunyai hubungan yang baik sesama adik beradik, dan tidak pulang lewat tanpa sebab, sudah pasti ibu bapa kita akan mengizinkan semua permintaan kita yang sebelumnya tidak dibenarkan.

Malah adalah lebih baik jika ibu bapa kita mengenali siapa kenalan kita terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan kita. Inilah jalan untuk mencapai tujuan dan meraih kepercayaan.

Kita sering menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w. menghadapi keburukan dengan kebaikan, menghadapi segala cubaan dengan ketenangan jiwa, serta menghadapi segala rintangan dan gangguan dengan pemberian maaf dan do’a : “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku ini, sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.”

Kebanyakan orang-orang yang tidak peduli kepada da’wah kita adalah orang-orang yang tidak mengenal hakikat da’wah ini. Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan, “Ketidaktahuan masyarakat akan menjadi penghalang jalan kalian. Oleh kerana itu, tugas kita yang paling mulia adalah menjadikan masyarakat mengenal hakikat da’wah kita, kerana kebersamaan mereka dengan kita adalah lebih baik.”

Allah swt. Berfirman : “Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa, tentulah kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang penuh kenikmatan.” (Al-Maidah: 65)


16 Comments · 3073 Reads · Print Bookmark and Share

1 ulasan: